Sunday, 15 February 2015

Jana duit ‘online’

SUMBER




Shuhada Mansor dan Fatin Farhana Japre



KEKURANGAN modal, pengalaman dan tidak tahu cara untuk memulakan bisnes atas talian ataupun bekerja sendiri antara punca belia masa kini lebih cenderung bekerja makan gaji. Namun, tidak dinafikan trend menjana wang dengan kreativiti sendiri semakin popular, malah ada antara mereka berurusan dari rumah.

Fenomena ini bukan lagi asing kerana budaya jual beli atas talian tergolong antara cara pembelian paling digemari masyarakat bahkan di seluruh dunia. Tidak hanya tertumpu kepada pakaian malah makanan seperti kek, biskut dan kuih tradisional semakin mendapat perhatian. Pendek kata, semuanya di hujung jari!

Dalam artikel ini, Gen Y berkongsi pendapat dan pengalaman dua remaja yang sentiasa bersedia menempuh cabaran dengan bekerja tanpa majikan. Meskipun berbeza latar belakang perniagaan tapi semangat dan kecekalan itu dapat dijadikan panduan untuk kita memulakan sesuatu yang kita minati walaupun bermula secara kecil-kecilan.

Hannan Sh Mubarak, 22

Pengukir Aising

“Melangkah ke bidang pastri ini pada mulanya memang agak janggal sebab boleh dikatakan saya antara yang termuda. Minat selain tak mahu kerja makan gaji antara sebab saya teruskan. Tidaklah terlalu pakar tapi saya selalu pentingkan ketelitian dan kualiti dalam hasil kerja.

“Sebagai pengukir aising selain membentuknya menjadi sama ada bunga, haiwan seperti beruang kecil, karakter kartun dan sebagainya memerlukan kecekapan dan kesabaran. Semua ini kita akan belajar melalui pengalaman dan proses pembelajaran setiap hari. Saya akui, ia bukan mudah kerana membabitkan pemilihan warna, bentuk dan susun atur hiasan.

“Kek aising atau lebih popular dengan panggilan ‘kek fondant’ semakin mendapat tempat terutama kanak-kanak. Berbanding dulu hanya kek disalut krim mentega menjadi pilihan tapi kini sudah dipelbagaikan. Ramai orang gemar pilih kek dalam kebanyakan majlis dan sebab itu juga, permintaan semakin meningkat.

“Saya mulakan pernigaan dari rumah secara ‘online’. Mulanya hanya jual di Instagram dengan nama ‘Duchess of Cake’ dan memang betul media sosial banyak membantu usahawan baru. Kini, hasil kerja tangan saya ada pengikut tersendiri. Untuk sentiasa nampak segar, perlu ada kelainan. Oleh itu, saya akan cuba reka sesuatu yang baru, tak mahu pelanggan bosan.

“Dalam perniagaan pembuatan kek ini boleh dikatakan semakin sukar seni hiasan, semakin tinggi nilai harga kek dijual. Tak mustahil kek hantaran berbentuk seperti beg tangan Louis Vuitton dijual pada harga antara RM250 hingga RM350 sebiji.

“Saya akui hasilnya sangat lumayan walaupun berniaga secara online. Proses pembuatan kek aising sangat susah untuk dibuat, namun kerana minat dan bakat yang ada, saya gembira dapat menghasilkannya untuk orang lain,” katanya.

Nordiana Susanti Mohd Harris, 21

“Peniaga tudung di laman sosial semakin ramai lebih-lebih lagi sejak fesyen ‘hijabista’ semakin popular. Nak kata lama tidak juga, tapi sudah dua tahun saya jalankan perniagaan jual tudung secara ‘online’.

“Menariknya, untuk melangkah ke dalam bidang ini kita tak perlukan pengalaman, cukup sekadar anda tahu berkomunikasi dan bersabar melayan kerenah pelanggan. Itu pendapat saya. Dalam tempoh dua tahun dan sampai sekarang pun saya masih belajar strategi perniagaan untuk tingkatkan jumlah pelanggan.

“Berstatus pelajar tak halang saya untuk cuba cari duit poket sendiri. Walaupun masih belajar, saya tetap berniaga tudung sebagai kerja sambilan. Pun begitu, untung yang saya dapat memang lumayan. Cukup untuk perbelanjaan bulanan saya dan boleh ‘tampung’ modal stok tudung baru.

“Saya percaya jika seseorang remaja suka habiskan masa dengan melayari media sosial, dia pasti boleh cuba jadi usahawan ikut kreativiti sendiri. Tak kisahlah berniaga baju terpakai, buku bahkan gubahan hadiah sekali pun pasti ada yang berminat untuk membelinya. Remaja memang banyak barang kita idamkan, dengan cara cari duit sendiri melalui medium percuma, pasti boleh tambah duit poket dengan mudah jika diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.




Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:00 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30630#sthash.MdrFK6lJ.dpuf



Source Jana duit ‘online’

Due Respect to Blackandwhite Original Source Author!

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2012 Wara Bellicose All Right Reserved
Shared by Google Blog